FCC jadi platform lindungi warisan hutan Selangor

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah / BERNAMA

SHAH ALAM 30 Mac – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pemuliharaan bagi pelaksanaan projek Penjaga Gunung di Selangor di bawah inisiatif Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek Penjaga Gunung di bawah FCC memperkasakan Hutan Warisan Diraja seluas 108,000 hektar di komuniti Orang Asli, bersama UPM dan Perhilitan.
  • Hutan menstabilkan iklim, melindungi sumber air, menjadi benteng terhadap cuaca tidak menentu serta asas identiti budaya dan spiritual rakyat.
  • FCC bukan sekadar alat pembiayaan, ia manifestasi tanggungjawab kolektif, dengan generasi muda dan Orang Asli sebagai penjaga gunung moden.

Menerusi projek itu Hutan Warisan Diraja Selangor di komuniti Orang Asli tempatan di Gerachi, Pertak dan Ulu Batu seluas 108,000 hektar akan diperkasa dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)

Tengku Amir Shah dalam  titahnya berkata Selangor berpegang teguh pada keyakinan bahawa hutan bukanlah bertentangan dengan kemajuan tetapi sebaliknya serta enjin hidup yang menggerakkannya.

Jelasnya hutan menstabilkan iklim, melindungi sumber air dari punca, dan menjadi benteng pertama negeri terhadap cuaca yang semakin tidak menentu serta menyokong kehidupan, mengilhamkan rekreasi, serta menjadi asas identiti budaya dan spiritual rakyat.

“Kami menzahirkan penghormatan khusus kepada Orang Asli, penjagaan turun-temurun mereka sejak sekian lama melindungi bukit-bukau, hulu sungai dan keseimbangan ekosistem kita. Kami juga berbangga dengan generasi muda yang semakin meningkat, yang menyahut seruan hutan.

“Melalui Komuniti Belia Selangor penjaga gunung moden kita golongan muda berdiri seiring dengan Orang Asli dan komuniti tempatan. Bersama, mereka mencerminkan etika penjagaan Selangor: memastikan hutan kekal, sungai terus mengalir, dan negeri kita kekal berdaya tahan,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan FCC bukan sekadar sebagai alat pembiayaan, tetapi sebagai manifestasi tanggungjawab kolektif untuk melindungi warisan semula jadi negara.