fb fb fb fb fb

Fasiliti SUKMA 2028 di Kelantan siap sepenuhnya Mac 2026

Menteri KBS Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 2 April - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited pastikan pembinaan fasiliti sukan sempena SUKMA 2028, di Kelantan siap sepenuhnya pada pertengahan Mac 2026, kata Hannah Yeoh.

Menterinya, berkata hasil pemantauan juga akan dibawa pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan KBS pada setiap bulan mengikut jadual.

"Status pembinaan fasiliti sukan untuk temasya SUKMA sentiasa dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selain mesyuarat tapak diadakan setiap bulan bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual siap sepenuhnya pada Mac 2026," katanya bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh di Dewan Negara hari ini.

Senator Fatmi ingin tahu mengenai status persediaan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2028 serta pemantauan pembinaan fasiliti sukan supaya isu penangguhan tidak berlaku lagi.

Sebelum ini media melaporkan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM276 juta bagi pembinaan tujuh fasiliti sukan di Kelantan.

Enam lagi projek yang akan dilaksana ialah pembinaan arena tertutup Kompleks Sukan Bukit Merbau dengan kos RM25 juta, stadium hoki (RM19 juta), pusat akuatik (RM20 juta), gelanggang skuasy (RM9 juta), gelanggang boling padang berbumbung (RM8 juta) dan lapang sasar menembak (RM15 juta).

GRACE AISYAH KEDAYAN