KUALA LUMPUR, 25 Mac – Fasa peralihan monsun dijangka bermula hari ini dan berterusan hingga Mei, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 5 November tahun lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan semasa fasa peralihan monsun, negara akan mengalami tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
"Keadaan ini amat sesuai untuk berlakunya ribut petir dan hujan lebat beserta angin kencang yang menyeluruh dalam jangka masa singkat pada petang hingga awal malam.
Keadaan cuaca ini juga berpotensi menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.
Ia berlaku dikebanyakan kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta kawasan selatan, juga di barat dan tengah Sarawak.
METMalaysia turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada sepanjang tempoh peralihan itu serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.
Dapatkan informasi cuaca terkini yang pantas dan tepat menerusi laman web rasmi di www.met.gov.my dan aplikasi myCuaca.
"Ikuti METMalaysia di Telegram untuk mendapatkan maklumat serta informasi cuaca yang pantas dan sahih menerusi channel Telegram https://t.me/metmalaysia", menurut METMalaysia.