KUALA LUMPUR, 4 Mac- Terminal Bersepadu Gombak (TBG) akan mula beroperasi secara berperingkat bermula 15 Mac ini dengan fasa awal melibatkan perkhidmatan menurunkan penumpang dari Pantai Timur.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan itu akan mengambil masa selama seminggu sebagai tempoh percubaan sebelum orang ramai boleh mula menaiki bas dari stesen tersebut pada minggu kedua.
"Harapan dan juga sasaran kita ialah menjelang musim Hari Raya Aidilfitri nanti, iaitu pada penghujung bulan Mac, yang nak balik kampung boleh menggunakan terminal ini sebagai pintu masuk untuk mengambil bas ekspres pulang ke kampung.
"Itu harapan kita dalam usaha mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS)," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini.
Mengulas mengenai kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU), TBG juga menyediakan platform khas untuk memudahkan pergerakan golongan itu.
Pada masa sama beliau berharap agar TBG menjadi pilihan utama pengguna selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, restoran dan dewan serbaguna yang boleh disewa untuk pelbagai acara.