KUALA LUMPUR, 5 November- Fasa 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihak konsensi kini sedang melakukan kerja awal sebelum memulakan pembinaan.
"Kontrak baru diberikan kepada kontraktor pada awal September dan mereka kini dalam proses kerja awal di tapak.
Kita jangka keseluruhan projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun," kata Alexander kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Jalan Se-Malaysia kali ke-12 dan Kongres Jalan Asia Pasifik, Persekutuan Jalan Sedunia kali ke-5 di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara.
Fasa 1B LPB melibatkan pembinaan jalan baharu dari Kota Belud ke Kudat serta penambahbaikan jalan dari Ranau ke Lahad Datu sejauh 370 kilometer (km).