KUALA LUMPUR, 31 Januari- 14 pasar tani baharu disasarkan untuk dibuka Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA).
Selain itu 40 pasar tani sedia ada akan dinaik taraf dengan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM200 juta tahun ini.
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata sepanjang tempoh 39 tahun penubuhannya, pasar tani telah melalui beberapa fasa iaitu Fasa Pengenalan (1985-1994), Fasa Pengukuhan (1995-2003), Fasa Pemodenan (2004-2010), Fasa Transformasi (2011-2020) dan Fasa Pendigitalan (2021-kini).
"Pada 1985, pasar tani hanya berjumlah 12 buah melibatkan 317 orang peserta dengan nilai jualan RM1.4 juta setahun.
"Sehingga kini, terdapat 223 pasar tani di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan sebanyak 8,542 usahawan dan berjaya mencatatkan nilai jualan RM244.6 juta," katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan FAMA, pasar tani pertama dibuka di
Kompleks Bilik Sejuk FAMA Tampoi, Johor Bahru merupakan pasar tani pertama dibuka oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Menteri Pertanian iaitu pada 31 Januari 1985.
Pengenalan pasar tani bertujuan membangunkan saluran pemasaran serta menggalakkan penyertaan usahawan tani memasarkan hasil pertanian sendiri kepada pengguna.
"Pada masa ini, pasar tani telah berkembang pesat dan ia kekal relevan sebagai pasar pilihan kepada pengguna dan menjadi outlet pemasaran yang berjaya serta menyumbang kepada kemajuan pembangunan ekonomi negara.
"Penubuhan pasar tani telah melahirkan ramai petani yang bersikap responsif serta mempercepatkan proses pembangunan sosio ekonomi masyarakat tani selaras dengan Dasar Agromakanan Negara," kata kenyataan itu.
Pelaksanaan Jualan Agro MADANI sehingga 21 Januari tahun ini merekodkan nilai jualan sebanyak RM4.4 juta.
Ia melibatkan penyertaan seramai 4,120 usahawan dan telah memberi manfaat kepada 324,000 isi rumah.