fb fb fb fb fb

FAMA: Program Jualan Kasih Johor dianjur di 29 lokasi tumpuan

Foto Fail: Zahari Sarip/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 1 Februari- Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan melaksanakan program Jualan Kasih Johor (KASIH) di 29 lokasi tumpuan di seluruh negeri itu, bermula Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata program yang membabitkan lebih 300 usahawan tani itu dijangka memanfaatkan 140,000 penduduk dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Katanya antara komoditi makanan yang menjadi keutamaan menjelang Tahun Baharu Cina termasuk ayam, ikan, hasil laut, telur dan minyak masak selain tampungan harga menerusi Jualan Agro MADANI turut dibuat bagi sayur-sayuran serta buah-buahan.

"Kita sentiasa komited dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat. antaranya dengan pelaksanaan KASIH menerusi kaedah jualan secara tampungan atau potongan harga barangan keperluan makanan bagi komoditi terpilih terutama pada musim perayaan, selaras pengumuman Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Belanjawan Johor 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai khususnya masyarakat Cina tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dan makanan yang ditawarkan pada harga istimewa.

Program yang berlangsung selama enam hari akan disempurnakan oleh Menteri Besar pada 7 Februari di Pusat Rukun Tetangga Taman Johor di sini.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI