fb fb fb fb fb

FAMA Perlis sasar RM2.65 juta, libatkan 1,476 usahawan

Jualan Agro MADANI di Perlis

KANGAR, 6 Februari- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menyasarkan nilai jualan mencecah RM2.65 juta dengan melaksanakan 233 program Jualan Agro MADANI sepanjang tahun ini.

Ia melibatkan penyertaan 1,476 usahawan bimbingan FAMA selain mengganggarkan hampir 100,000 kunjungan.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata, sepanjang tahun 2023, sebanyak 251 program Jualan Agro MADANI telah dilaksanakan melibatkan 1,342 usahawan yang memberi manfaat kepada lebih 78,000 rakyat Perlis dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.05 juta.

"Walaupun jumlah pelaksanaannya berkurang namun pelaksanaan tahun ini lebih ramai penyertaan usahawan bagi lokasi tertentu dengan menawarkan lebih banyak produk.

"Sepanjang tahun ini juga, sasaran nilai penjimatan menerusi Jualan Agro MADANI 2024 bakal mencecah RM804,000," katanya kepada pemberita dalam Program Jualan Agro MADANI di perkarangan pejabat FAMA Perlis di sini.

Bersempena dengan Jualan Agro MADANI kali ke-26, pelbagai aktiviti jualan dilaksanakan termasuk buah-buahan, barangan kawalan, produk industri asas tani, trak makanan, pemeriksaaan kesihatan, perkhidmatan mengunting rambut percuma, pameran kereta serta cabutan bertuah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI