
KANGAR, 15 Februari – Lembaga Pemasaran Pertanian persekutuan (FAMA) Negeri Perlis menyasarkan nilai jualan RM4.5 juta melalui empat lokasi Pasar Tani utama tahun ini berbanding RM3.5 juta tahun lepas.
- Empat lokasi Pasar Tani utama dipilih untuk memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan berharga berpatutan.
- Program bertujuan mengurangkan kos sara hidup serta persiapan menyambut Ramadan melalui promosi harga.
- Platform mengeratkan hubungan peniaga dan komuniti sambil mempromosi usahawan produk tempatan.
- Jualan Kombo Madani RM13 menarik pembeli, disertai 20 usahawan pelbagai komoditi di program jualan.
Empat lokasi Pasar Tani itu ialah Pasar Tani UniMAP Pauh Putra, Pasar Tani Kekal Simpang Empat, Pasar Tani Dataran ABC MAIPs, dan Pasar Tani Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu.
Inisiatif berkenaan bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan, seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup sebagai persediaan menyambut Ramadan.
Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, program tersebut juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara peniaga dan komuniti setempat selain membolehkan FAMA mempromosikan usahawan di bawah bimbingannya melalui produk tempatan.
Beliau memaklumkan perkara itu pada Program Jualan Semarak Ramadan di Pasar Tani Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu, Bintong, yang melibatkan 20 usahawan dengan pelbagai komoditi termasuk barangan segar, hasil laut, hasil ternakan, sayur-sayuran, buah-buahan serta makanan dan minuman.
Tumpuan utama ialah Jualan Kombo Madani dengan harga RM13 berbanding harga asal RM18, yang menjadi tarikan pembeli.
Selain Pasar Tani, FAMA turut melaksanakan Program Jualan Agro Madani.
Sepanjang 2025, sebanyak 177 program dilaksanakan dengan nilai jualan RM1,952,006 melibatkan 224 usahawan dan memberi manfaat kepada 50,000 komuniti setempat.