KANGAR, 6 April- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis melaksanakan sebanyak 11 Program Semarak Syawal Agro MADANI menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Antara lokasi pelaksanaannya termasuk Pasar Tani Dataran MAIPs, Pasar Tani Kekal Simpang Empat, enam lokasi Agrobazaar Kedai Rakyat dan Agrobazaar Rakyat serta tiga lokasi lain di Masjid Ameer Fawwaz dan Laman Niaga Titi Chai bermula hari ini sehingga 9 April ini.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata, pelaksanaan Program Semarak Syawal MADANI bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan sempena Aidilfitri.
Selain itu, memberi peluang pasaran tambahan kepada lebih 700 usahawan bimbingan FAMA bagi meningkatkan pendapatan sempena Aidilfitri serta membolehkan pengguna memperoleh barangan keperluan pada harga berpatutan.
"Kita juga dalam masa sama bekerjasama dengan pihak KPDN dalam meneruskan Ops Harga. Pada minggu lepas kita dah mula dengan penguatkuasaan penjenamaan dan juga harga harumanis itu sendiri.
"Tetapi sempena perayaan ini kita teruskan di lokasi pelaksanaan program FAMA dengan kerjasama KPDN untuk melihat dan membuat naziran harga dalam kalangan peserta-peserta," katanya dalam Program Semarak Syawal Jualan Agro MADANI di Dataran MAIPs, di sini.
Sehingga kini, FAMA Perlis telah melaksanakan sebanyak 90 Jualan Agro MADANI dengan nilai jualan mencecah hampir RM779,000 yang telah memberi manfaat kepada lebih 22,000 pengguna di Perlis.