MERLIMAU, 17 Mac- FAMA Melaka menyasarkan sebanyak 400 kali penganjuran program Jualan Agro Madani dengan nilai jualan RM4 juta ringgit sepanjang tahun ini.
Pengarah FAMA Melaka, Nor Azhar Abdul Hamid optimis sasaran mampu dicapai memandangkan sehingga 15 Mac lalu, sejumlah 94 penganjuran iaitu 24 peratus daripada sasaran telah dilaksanakan.
“Sebanyak 684,000 isi rumah berjaya memanfaatkan program Jualan Agro Madani sejak dilancarkan pada 16 April 2023.
"Untuk pencapaian sehingga 15 Mac, FAMA telah mencapai sebanyak 94 kali iaitu sebanyak 24 peratus dengan jualan sebanyak RM1.45 juta dan untuk Jualan Agro Madani ia sebenarnya berkonsepkan atau berteraskan 'quick win' iaitu 'low cost high impact' di mana ia bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup," katanya.
Tambah beliau, program ini merupakan penjenamaan semula Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang mendapat kerjasama daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM).
Sementara itu, Nor Azhar berkata Pasar Tani Khas Aidilfitri pula dijangka dianjurkan pada 4 hingga 9 April di semua tujuh Pasar Tani di Melaka secara berperingkat.