
PUTRAJAYA, 9 Januari -Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan pelbagai langkah intervensi pasaran bagi menangani isu lebihan bekalan buah-buahan bermusim khususnya durian, susulan kejatuhan harga di peringkat ladang yang menjejaskan pendapatan pengeluar.
- Penganjuran Program Jualan Agro MADANI jual durian terus dari pengeluar ke pengguna untuk kurangkan perantara.
- FAMA sediakan kemudahan logistik dan outlet pemasaran bagi membantu pengusaha durian dari Jerantut dan Jelebu.
- Rangkaian jualan Agro MADANI akan diperluas ke Kedah dan Selangor untuk urus lebihan bekalan musim.
- Kejatuhan harga disebabkan lambakan klon komersial dan buah tidak memenuhi spesifikasi eksport; FAMA beli durian rendah untuk pemprosesan.
Timbalan Ketua Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, antara inisiatif utama dilaksanakan termasuk penganjuran Program Jualan Agro MADANI selama tiga hari di Pasar Tani Kekal (PTK) Putrajaya.
Program jualan tersebut bermula Khamis yang menyediakan akses pasaran terus kepada pengeluar durian dari beberapa negeri termasuk Pahang, Negeri Sembilan dan Perak.
Program berkenaan bertujuan membantu petani memasarkan hasil secara terus kepada pengguna sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, selain membolehkan harga yang lebih berpatutan diperoleh pengeluar.
“Jadi, Alhamdulillah, dengan sambutan yang agak luar biasa sehingga tengah hari tadi, kita mendapat jualan sebanyak seratus ribu lebih bermula daripada semalam, dan kita target untuk dua hari ni dalam 200,000.
“Jadi memandangkan sambutan yang agak luar biasa dan dari segi kapasiti untuk pengusaha-pengusaha durian ini untuk meneruskan program kita pada hari ni, kesiapan mereka untuk menyambung program ini kita lanjutkan program yang kita adakan pada hari ini sehingga esok.
“Kepada penduduk-penduduk, sekitar Putrajaya, mana yang tidak berkelapangan untuk hadir semalam dan juga hari ni, saya mengalukan mereka untuk semua hadir sehingga petang esok,” katanya pada sidang media di Program Jualan Agro MADANI di Putrajaya.
Faisal berkata, program tersebut merupakan antara langkah yang diambil FAMA bagi membantu usahawan-usahawan khususnya di Jerantut (Pahang) dan Jelebu (Negeri Sembilan).
Katanya, pihaknya mengatur program seperti mana hari ini dengan membawa buah-buahan bermusim khususnya durian secara terus dari kawasan pengeluar ke kawasan pengguna.
“Kita bawa, buah-buahan bermusim khususnya durian ni ke Putrajaya daripada kawasan pengeluaran ke kawasan pengguna. Supaya petani mendapat pemasaran yang lebih baik, apabila petani-petani dapat menjual terus, kepada pengguna.
“Jadi daripada segi peranan kita menyediakan kemudahan logistik yang mana kita menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pengusaha-pengusaha durian dan juga kita menyediakan outlet pemasaran,” katanya.
Dalam usaha berterusan menangani isu lebihan bekalan, FAMA turut merancang penganjuran beberapa siri Jualan Agro Madani di negeri lain termasuk Kedah pada 16 Januari dan Selangor pada 22 Januari ini, dengan penyertaan pengeluar buah-buahan bermusim dari seluruh negara.
Sementara itu, beliau berkata, kejatuhan harga durian kampung di peringkat ladang berpunca daripada kesan lambakan durian klon, termasuk Musang King, susulan peningkatan pengeluaran daripada kebun yang masih di peringkat awal penghasilan.
Faktor kualiti buah yang tidak memenuhi spesifikasi pasaran eksport turut memberi kesan kepada harga semasa dan FAMA turut melaksanakan intervensi pembelian durian kampung pada harga rendah untuk tujuan pemprosesan.