KUALA TERENGGANU, 20 April – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu memberi jaminan akan menambah bekalan kelapa di pasaran sekiranya berlaku kekurangan, bagi memastikan keperluan pengguna sentiasa mencukupi.
Menurut Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan setakat ini bekalan kelapa masih mencukupi untuk menampung permintaan di seluruh negeri.
“Peranan FAMA setakat hari ini, kita cuba tingkatkan bekalan di peringkat daerah dan kampung dengan kerjasama pihak pengendali outlet (PO) di kawasan masing-masing. Setiap minggu, kita komited membawa masuk sekitar 20 metrik tan kelapa, iaitu bersamaan dua lori, untuk diagihkan ke lebih 100 outlet FAMA termasuk pasar tani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Hari Bertemu Pelanggan anjuran FAMA Terengganu di sini, hari ini.
Langkah proaktif itu dilihat sebagai usaha FAMA dalam memastikan kestabilan bekalan kelapa, terutama menjelang musim perayaan dan peningkatan permintaan pengguna.