SEREMBAN, 19 Februari- Sebanyak 34 tan metrik kelapa telah diagihkan secara berperingkat di Negeri Sembilan sejak Januari lalu menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menampung keperluan bekalan kelapa di negeri itu.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata bekalan tersebut turut disediakan bagi memenuhi permintaan kelapa dan santan menjelang Ramadan dan Syawal.
"Sekarang ini, FAMA telah dijadikan pusat pengedaran kelapa dengan negara kita mengimport 68 tan metrik dari Indonesia bagi menampung keperluan di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.
"Di Negeri Sembilan, sebanyak 34 tan metrik telah pun diedarkan bagi memastikan bekalan mencukupi," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa isu kekurangan bekalan kelapa ketika ini hanya bersifat sementara dan tidak melibatkan pengurangan dalam pengeluaran.
Dalam pada itu, Jalaluddin menasihatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga jualan secara tidak munasabah.
BERITA BERKAITAN