KUALA LUMPUR, 7 Disember — Kementerian Komunikasi, mengingatkan orang ramai, terutama golongan warga emas, agar lebih berwaspada terhadap perangkap penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, jumlah kes membabitkan golongan tersebut menunjukkan peningkatan mendadak.
Oleh itu beliau yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, menyeru masyarakat untuk meningkatkan kesedaran terhadap modus operandi sindiket penipuan.
"Saya akan membawa pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke Parlimen untuk memperkukuhkan undang-undang bagi melawan jenayah siber.
"Pindaan ini adalah untuk melawan penjenayah yang semakin giat menyalahgunakan platform media sosial," katanya ketika merasmikan Program Hari Terbuka Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Lembah Pantai, di sini hari ini.
Beliau turut memuji kejayaan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang telah menyekat transaksi wang haram berjumlah RM19 bilion sejak penubuhannya pada 2022.
Kejayaan itu dicapai melalui kerjasama erat antara Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi kewangan, dan industri telekomunikasi.