TAWAU, 6 September - Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah bemula hari ini.
Beliau dijadualkan meninjau pengoperasian Menara Sepagaya di Kampung Sepagaya, Lahad Datu pagi ini.
Esok, Fahmi dijadual mengadakan tinjauan Perkhidmatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pasar raya di Taman Sejati, di sini, pada sebelah pagi.
Fahmi kemudiannya akan menghadiri Hari Bersama Komuniti dan majlis pelancaran Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) Peringkat Negeri Sabah di NADI Kampung Sungai Iman pada tengah hari.
PRIME merupakan inisiatif strategik Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana dan kecemasan di tempat awam.
PRIME ialah sistem komunikasi bersepadu, bergerak berasaskan kenderaan dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron, yang dibangunkan sepenuhnya oleh MCMC dengan gabungan teknologi tempatan dan luar.
Pada sebelah petang, Fahmi akan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ismail lamo di Taman Victoria di sini.- BERNAMA