IPOH, 21 April- Umat Islam di negara ini disaran untuk terus memahami aspek istitha'ah (kemampuan) dalam menunaikan ibadah haji yang merupakan salah satu daripada lima syarat wajib ibadah tersebut
Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak, Datuk As’ad Awang berkata, kemampuan menunaikan haji membawa pengertian luas termasuk daripada segi kewangan, kesihatan dan keselamatan.
Jelas beliau, ibadah haji tidak semestinya ditunaikan segera, sebaliknya boleh ditangguh pada waktu sesuai atau sudah cukup kemampuan.
"Bukan saya kata haji tu ringan. Tidak, haji tu tuntutan yang sangat kuat sebab itu apabila ada istitha'ah jangan lewatkan lagi.
"Bila kita ada kemampuan...pergi. Kita tak tahu mungkin nanti daripada segi keamanan sudah tiada. Keamanan tu termasuk penyakit seperti dahulu COVID-19 dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya lagi, semua masjid dan surau digalak untuk terus memberi kefahaman mengenai istitha'ah kepada masyarakat menerusi penganjuran ceramah.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bantuan Kewangan Haji bersasar yang disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan langkah baik membantu golongan memerlukan.
"Yang memberi itu pada saya satu perkara yang baik. Kerajaan beri tak ada masalah tetapi hukumnya bukan wajib untuk kerajaan beri (bantuan haji).
"(Seterusnya) yang pergi ini, kalau dapat mana-mana orang taja, beri subsidi, dia mengerjakan, syaratnya cukup, maka hukumnya hajinya sah," tambah beliau lagi.
Terdahulu, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini seramai 31,600 orang dengan penerbangan pertama dijadual pada 9 Mei depan.