fb fb fb fb fb

Fadillah adakan pertemuan dengan Bank Dunia, PBB

Datuk Seri Fadillah Yusof

BALI, 21 Mei- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengetuai delegasi Malaysia ke Indonesia sempena pertemuan dua hala dengan Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab dalam bidang air.

Dalam pertemuan tersebut pelbagai isu dibincangkan termasuk berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berharap, pertemuan itu dapat memberi pandangan bernas bagi membolehkan negara membangunkan serta memastikan kelestarian dan kelangsungan bekalan air dalam semua aspek.

"Berkongsi maklumat dengan mereka cabaran yang kita lalui dengan pengalaman mengendalikan soalan berhubung dengan air termasuk model kewangan dalam pelbagai negara.

"Supaya mereka dapat kongsikan dengan kita, jadi apa yang dipersetujui tadi adalah untuk kita mengadakan perbincangan lanjut antara peringkat pegawai dan juga Bank Dunia. Dari situ kita akan tentukan arah tuju kerjasama kita dengan Bank Dunia," katanya dalam sidang media selepas menghadiri pertemuan berkenaan di Pusat Konvensyen Bali Nusa Dua (BNDCC) di sini.
 
Pada pertemuan itu juga, Fadillah turut berkongsi mengenai pengurusan air lintas sempadan, iaitu sungai-sungai yang dikongsi dengan negara-negara lain.
 
Di Malaysia terdapat empat sungai yang bersempadan dengan negara lain, termasuk Thailand, Brunei, dan Indonesia.

Forum Air Sedunia (WWF) diadakan setiap tiga tahun dianjurkan bersama-sama Majlis Air Sedunia (WWC) dan negara tuan rumah.

Acara tahun ini bertemakan "Air untuk Kemakmuran Bersama" berlangsung dari 18 hingga 21 Mei.

Forum itu bertujuan menggalakkan kerjasama global dan mempromosikan tindakan dalam mengenal pasti isu-isu semasa berkaitan pengurusan air melalui penyelesaian yang bersepadu.

Fokus utamanya termasuk pemuliharaan air, air bersih, keselamatan makanan dan tenaga, serta pengurangan bencana.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI