PUTRAJAYA, 2 Oktober- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri Pendidikan anjuran Pertubuhan Negara Islam Bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO) Oman yang berlangsung di Muscat, Oman selama dua hari.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, Fadhlina akan menyampaikan kenyataan negara dalam persidangan tersebut yang bermula hari ini, dengan memberi tumpuan bagi memastikan pendidikan berkualiti menjadi teras pembangunan lestari.
"Fadhlina akan berkongsi amalan dan pengalaman Malaysia dalam memperkasakan pendidikan digital serta bidang kecerdasan buatan (AI).
"Fadhlina dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan termasuk dengan Ketua Pengarah ICESCO Dr Salem Mohammed Al-Malik dan ketua perwakilan negara anggota untuk bertukar pandangan berkaitan kerjasama bawah inisiatif ICESCO dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya.
Persidangan berkenaan melibatkan penyertaan daripada menteri pendidikan dan delegasi dari 27 negara anggota ICESCO.
Ia merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Oman dan Suruhanjaya Pendidikan, Budaya dan Sains Oman.
Penganjuran persidangan itu adalah untuk memperkukuh komitmen dalam mentransformasi pendidikan, merapatkan jalinan dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan.