fb fb fb fb fb

Facebook Datuk Michael Tiang digodam, tidak tolak bermotifkan politik

Datuk Michael Tiang pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Pelawan, hari ini.

SIBU, 28 Januari- Laman Facebook rasmi Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee telah digodam.

Datuk Michael Tiang berkata pihaknya menyedari laman Facebook beliau digodam bermula 16 Disember tahun lepas.

Beliau berkata, selepas hilang kawalan ke atas akaun tersebut, pihaknya telahpun menghubungi syarikat Meta yang berpangkalan di Singapura untuk mendapatkan semula laman yang telah dibina sejak 2018 itu.

“Walaupun berjaya mendapatkan semula akses dan kawalan ke atas laman tersebut, akaun itu kembali digodam dan situasi ini berulang sebanyak empat kali sehinggalah kali terakhir baru-baru ini di mana sekali lagi akaun tersebut diceroboh oleh penggodam.

“Saya rasa sangat sedih kerana akaun Facebook yang mempunyai lebih 26,000 pengikut itu adalah platform yang digunakan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Rakyat di DUN Pelawan mudah untuk membuat aduan dan pasukan saya akan dapat melakukan tindakan lanjut susulan aduan rakyat. Platform ini sebenarnya sangat efektif.” Katanya di sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Pelawan hari ini.

ADUN Pelawan itu turut mendedahkan penggodam berkenaan turut menghantar jemputan kepada setiap pengikut di akaun itu untuk menyertai sebuah kumpulan dinamakan ‘Susmita Kumari’.

“Ini sangat serius kerana kumpulan ini tidak terbuka kepada umum. Saya risau penggodam itu menggunakan nama dan akaun saya untuk melakukan aktiviti haram atau mengumpan pengikut di akaun Facebook saya ke penipuan dalam talian,“ katanya

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat yang mahu membuat sebarang aduan dan menyatakan permasalahan mereka untuk menyalurkan maklumat di akaun Facebook baharu ‘Pusat Khidmat N54 Pelawan’.

Beliau menjelaskan pihaknya telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM mengenai serangan penggodam itu.

Beliau juga tidak terkejut jika serangan itu bermotifkan politik untuk menghalang beliau berterusan berkongsi maklumat dan berkhidmat kepada rakyat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE