(Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang
pada Majlis Penutup InnoEx 2023/Foto Bernama)
CYBERJAYA, 9 September- Malaysia tidak harus ketinggalan dalam era digital dan teknologi yang semakin pesat.
Malah perlu lebih giat mempromosikan inovasi dan teknologi tempatan agar dapat berdaya saing dengan negara-negara serantau dan di pentas dunia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengambil contoh pendekatan negara lain, Malaysia perlu membangun dan memasarkan penyelesaian inovatif tempatan.
Selain membimbing bakat tempatan; sekali gus menumpukan penyelesaian inovatif yang lestari.
"Malaysia menduduki tangga ke-36 daripada 132 negara dalam Indeks Inovasi Global pada tahun 2022.
"Aktiviti inovasi perlu dijadikan keutamaan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan kita perlu mengambil pengajaran daripada negara-negara lain," katanya pada Majlis Penutup InnoEx 2023 bersempena Minggu Inovasi Cyberjaya di RekaScape, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Terus sokong usaha R&D&C
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan bertindak sebagai pemudah cara industri bagi membawa masuk lebih banyak pelaburan dalam negara.
Seterusnya menyokong penggunaan teknologi melalui automasi, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin bagi meningkatkan produktiviti.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto fail Bernama)
Menurut beliau, sokongan akan terus diberikan bagi usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) syarikat-syarikat tempatan dan syarikat pemula seperti digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.
Tujuannya bagi mendorong mereka mencapai kejayaan lebih besar dan meraih pengiktirafan antarabangsa.
"Pada masa yang sama, kerajaan juga akan menyokong bakat-bakal tempatan yakni inovator kita yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di rantau ASEAN atau lebih jauh.
"Sudah tiba masanya kita julang dan bimbing inovator tempatan menempa nama di pasaran serantau dan merebut segala peluang yang ada di luar sana," katanya.