NILAI, 6 Februari- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani isu penjualan dan penggunaan penyedut hidung atau lebih dikenali sebagai ‘Energy Stick’ dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut Menteri KPM, Fadhlina Sidek, pihaknya komited melaksanakan pemantauan di peringkat sekolah bagi membendung isu itu yang dilihat semakin berleluasa.
"KKM telah pun mengambil tindakan. Jadi, kita sokong semua tindakan yang diambil oleh KKM dan saya ingin meminta ibu bapa, pihak sekolah untuk mengambil perhatian berhubung isu ini."
"Perkara ini penting supaya anak-anak kita tidak terjebak dengan pengambilan 'Energy Stick' dan KPM menyokong apa juga tindakan yang diambil oleh KKM," kata Fadhlina kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menegah Kebangsaan Nilai Impian, di sini.
Terdahulu, Public Health Malaysia melalui laman sosialnya memuat naik hantaran berkenaan produk penyedut hidung atau dikenali sebagai 'Energy Stick' yang dikesan popular dalam kalangan pelajar sekolah.
Produk itu giat dipromosikan menerusi media sosial serta boleh diperolehi dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10.00.
Dalam pada itu, KPM turut melaporkan pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di seluruh negara telah mencapai 80%.
Di Negeri Sembilan, pengagihan BAP di 478 buah sekolah melibatkan 176,387 orang murid telah mula sejak awal Januari lalu.