fb fb fb fb fb

Enam pengamal media RTM rangkul Anugerah Media Agrobank

Juara bagi tiga kategori Anugerah Media Agrobank (Nurfatihah Ab Rahim, Azry Ahmad Mustafa Hadi dan Paranthaman a/l Nadarajan) masing-masing membawa pulang trofi dan wang bernilai RM5,000

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Enam pengamal media dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Media Agrobank 2023/2024 menerusi menerbitkan liputan media yang positif, tepat dan holistik berkaitan aktiviti pertanian dan keselamatan makanan.

Juara kategori Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Berita Terbaik) dirangkul oleh Nurfatihah Ab Rahim dari RTM Kuala Lumpur (KL) dalam pelaporan bertajuk 'Agrobank Prihatin Tingkat Sosioekonomi Rakyat Menerusi Program Agro Komuniti B40', manakala Zakiyamani Ahmad (RTM Perlis) tempat ketiga menerusi 'Bakti Pesawah Muda - Bangga Bantu Jamin Bekalan Makanan Negara Biarpun Berhimpit Cabaran'.

"Terima kasih kepada rakan-rakan terutama jurugambar, penyunting dan penyunting visual yang sama-sama bekerjasama menghasilkan karya ini," kata Nurfatihah Ab Rahim.

Sementara itu, Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Dokumentari Terbaik) diumumkan juara bagi Azry Ahmad Mustafa Hadi (RTM KL) - laporan bertajuk 'Agrotek: Kemahuan Tonggak Kejayaan', manakala naib juara oleh Alya Alvian Washif dari RTM Sabah - 'Surupu Mutanom Punti'.

"Ini menunjukkan bahawa dokumentari berkaitan pertanian, makanan, perikanan, perladangan, pelancongan agro mendapat tempat dalam kalangan penganjur-penganjur anugerah berprestij sebegini," kata Azry Ahmad.

Seterusnya juara bagi kategori Anugerah Media Radio Terbaik dinobat kepada Paranthaman a/l Nadarajan (Perak FM) menerusi segmen 'Pertanian Bandar', manakala Hafizah Rosli (Mutiara FM) di tempat ketiga - 'Sembang Luaq Konti - Jom Agro (Ikan Keli Pejal)'.

"Saya rasa syukur dan sangat gembira sebab dapat menang anugerah untuk Perak FM dan juga untuk RTM," kata Paranthaman.

Kesemua mereka ditemui pemberita selepas meraih anugerah tersebut di sebuah hotel di sini malam tadi.

Masing-masing membawa pulang trofi kemenangan dan wang bernilai sebanyak RM5,000 (juara), RM3,000 (naib juara) dan RM1,000 (tempat ketiga). 

3005 ANUGERAH MEDIA AGROBANK 3
Hafizah Rosli, Zakiyamani Ahmad, Alya Alvian Washif

Sebanyak enam kategori anugerah dipertandingkan menerusi 130 penyertaan karya yang diterima daripada pelbagai agensi media telah dinilai menerusi kerjasama Malaysian Press Institute (MPI).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah berkata, sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi menjayakan anugerah dan majlis makan malam meraikan pengamal media berkenaan.

“Jutaan terima kasih kepada rakan media kerana menghantar karya sebagai bahan penyertaan dan memeriahkan lagi majlis pada malam ini. Laporan berita yang disiarkan dapat meningkatkan imej Agro Bank sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang berperanan penting terutamanya dalam pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan," katanya pada sidang akhbar selepas selesai majlis berkenaan.

"Untuk tahun-tahun akan datang kita akan menyambung program ini bersama MPI. Kita akan menyediakan hadiah-hadiah lebih menarik untuk wartawan-wartawan yang telah memberi kerjasama dalam mempromosikan bidang pertanian," katanya pada sidang akhbar selepas selesai majlis berkenaan.

Turut hadir pada malam anugerah itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar, ketua-ketua pengarang agensi media dan wartawan.

SITI AISHAH MD ISA