fb fb fb fb fb

Enam warga asing tanpa permit sah ditahan di Kulim

Foto Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah

KULIM, 29 Januari- Jabatan Imigresen Kedah menahan enam warga asing menerusi Ops Belanja dan Ops Sapu di beberapa lokasi sekitar Kulim, Kedah, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata hasil aduan awam, warga asing berkenaan disyaki bekerja tanpa permit yang sah.

Jelas Mohd Ridzzuan, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki Bangladesh, seorang lelaki Indonesia dan tiga lelaki Pakistan.

Kesemua ditahan berusia antara 18 hingga 57 tahun.

"Seramai 14 warga asing telah diperiksa dalam operasi itu. Enam daripadanya telah ditahan atas kesalahan dibawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15 (1) (c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas ditetapkan," katanya menerusi kenyataan.

Tegas Mohd Ridzzuan, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi operasi penguatkuasaan di seluruh Kedah terutama di lokasi-lokasi hotspot bagi membanteras isu kebanjiran warga asing yang dilihat semakin galak menguasai sesuatu kawasan.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM