fb fb fb fb fb

Enam projek di Melaka terima peruntukan tambahan lebih RM21 juta

Dr Muhammad Akmal Saleh

AYER KEROH, 22 Jun- Enam projek di Melaka yang menerima peruntukan tambahan lebih RM21 juta bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang giat dilaksana.

Exco Melaka, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, kesemua projek itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.

"Kita ada lebih enam projek bernilai RM21 juta termasuk pembangunan ikan kelah, taman laut, naik taraf Agro Melaka Tropical Fruit Farm di Sungai Udang dan veterinar di Sungai Rambai.

"...dan kita nak buat ladang ragut untuk lembu kira-kira RM2.5 juta. Maka impaknya nanti kita akan tengok pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Apabila projek ini semua siap dan dia akan memberi impak yang sangat besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Melaka Agro Fest di Dataran Sejarah, di sini.
 
Program yang berlangsung selama tiga hari itu menyasarkan lebih 30,000 pengunjung dengan hasil nilai jualan kira-kira RM1 juta. melibatkan petani, penternak, peladang dan usahawan itu

Lebih 10 tan durian percuma disediakan kepada pengunjung dalam kenduri durian.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Melaka juga membuka peluang kepada 100 rakyat di negeri itu untuk menyertai program Latihan Khas ‘Melon to Million’.

Program berkenaan turut mendapat peruntukkan khas daripada KPKM itu akan mendidik peserta untuk menjadi pengusaha tanaman tembikai wangi (rock melon) menerusi bengkel khas mengenai tanaman berkenaan.

Seterusnya, 10 peserta terbaik akan menerima tanah, peralatan dan semua keperluan bagi mengusahakan ladang tembikai wangi.

"Kita akan cari 10 terbaik untuk kita berikan tanah dan mengusahakan tanaman tembikai wangi... dan yang paling seronok ialah semua hasil tanaman akan ada kontrak bersama-sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk dijual.

"...sebab itu ia dinamakan 'Melon to Million'.  Jadi tembikai wangi ini kita khaskan kepada rakyat negeri Melaka dahulu," katanya kepada pemberita di sini.

Konsep ‘mentor mentee’ diperkenal untuk memilih peserta terpilih yang akan diberi tunjuk ajar oleh pengusaha tembikai wangi yang berjaya dari Selangor.

Pendaftaran telah dibuka melalui Universiti Putra Malaysia (UPM) dan terhad hanya kepada 100 penyertaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI