
PUTRAJAYA, 6 Mac — Seramai enam pegawai kanan perkhidmatan awam membabitkan jawatan pengurusan tertinggi diumumkan pertukaran dan pelantikan baharu yang akan berkuat kuasa bermula 9 Mac ini.
- Pelantikan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan; sebelum ini Ketua Setiausaha MOSTI.
- Pelantikan Dato’ Ts. Dr Nagulendran Kangayatkarasu sebagai Ketua Setiausaha MOSTI; sebelum ini Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.
- Pelantikan Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; sebelum ini Ketua Pengarah Kastam.
- Perubahan penempatan bertujuan memperkukuh kecekapan, ketelusan, integriti perkhidmatan awam serta kesetiaan kepada Raja dan Negara demi visi Malaysia MADANI.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata perubahan penempatan itu melibatkan beberapa jawatan utama bagi memperkukuh pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan. Sebelum ini beliau memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsul Azri berkata Dato’ Ts. Dr Nagulendran Kangayatkarasu pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha MOSTI. Beliau sebelum ini memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.
Menurut beliau, Dato’ Rahimi Ismail dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selepas sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
Beliau berkata Dato’ Noor Azman Abdul Rahman pula dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Sebelum ini beliau memegang jawatan Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan.
Selain itu, Dato’ Amran Ahmad dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Sebelum ini beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Shamsul Azri berkata perubahan penempatan itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh kecekapan pentadbiran selaras dengan keperluan reformasi perkhidmatan awam.
“Perkhidmatan awam perlu bergerak lebih pantas, telus dan berintegriti bagi memastikan sektor awam kekal berdaya saing serta relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata setiap pelantikan juga berlandaskan prinsip taat setia dalam memperkukuh kerjasama antara agensi serta memastikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Raja dan Negara dalam merealisasikan visi Malaysia MADANI.