KUALA LUMPUR, 6 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Kedah, Perak, Terengganu, Johor dan Melaka berkurangan petang ini, manakala tiada perubahan bagi Terengganu.
Jumlah terkini penduduk terjejas banjir di tujuh negeri itu ialah 17,400 orang setakat pukul 4.00 petang tadi.
Di KELANTAN, jumlah penduduk terjejas berkurang kepada 11,930 orang ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 3,735 keluarga petang ini berbanding 23,366 orang pagi tadi.
Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Tumpat mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 7,708 orang, diikuti Pasir Mas (4,200) dan Kuala Krai (22).
Di TERENGGANU, jumlah penduduk terjejas turun mendadak kepada lima orang petang ini berbanding 476 orang pagi tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan penduduk terjejas daripada sebuah keluarga itu masih berlindung di satu PPS dekat daerah Setiu.
Berdasarkan aplikasi InfoBencana JKM, jumlah penduduk terjejas banjir di KEDAH terus berkurangan kepada 4,395 orang setakat 4.00 petang ini berbanding 5,285 orang pagi tadi, manakala penduduk terjejas banjir di JOHOR juga berkurangan kepada 789 orang petang ini, berbanding 938 orang pagi tadi.
Di PERAK turut berkurangan kepada 126 penduduk terjejas daripada 43 keluarga di tiga PPS petang ini berbanding 149 orang di empat PPS pagi tadi dan MELAKA 140 orang berbanding 148 orang pagi tadi, manakala PAHANG kekal tidak berubah dengan 15 orang daripada lima keluarga di daerah Maran.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaporkan sebanyak 12 kematian pada musim banjir kali ini.