KUALA LUMPUR, 16 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan enam intipati utama dalam kenyataannya di Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang berlangsung di Doha, Qatar semalam.
Antara intipati itu termasuk mendesak dunia berhenti sekadar mengeluarkan kecaman kosong dan tiba masanya tindakan tegas diambil terhadap kekejaman Israel.
Beliau menegaskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel mesti dihentikan sebagai tekanan antarabangsa bagi mengakhiri keganasan yang berterusan di rantau itu.
Beliau menyifatkan serangan Israel sebagai barbarik, melanggar undang-undang antarabangsa serta mencabul kedaulatan Qatar apabila wilayah itu turut menjadi sasaran.
Perdana Menteri berkata, Gaza kini terus hancur dengan keluarga lenyap, hospital musnah dan anak-anak menjadi korban dalam serangan berterusan rejim Zionis.
Menurutnya, Israel secara terbuka mengisytiharkan dasar apartheid kekal dengan menolak kewujudan Palestin.
Beliau turut menegaskan flotila bantuan ke Gaza mesti sampai kepada Palestin tanpa sebarang halangan oleh mana-mana pihak.
Datuk Seri Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini melibatkan serangan Israel ke atas negara berkenaan.
Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan; serta pegawai kanan Kementerian Luar.