fb fb fb fb fb

Enam individu diberkas, edar dadah di Jelutong, Gelugor

Sindiket pengedaran dadah menjadikan kereta sebagai stor penyimpanan dadah tumpas

GEORGE TOWN, 17 November- Polis berjaya memberkas enam individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah sejak awal bulan lalu.

Sindiket itu menjadikan kereta sebagai stor penyimpanan dadah.

Pemangku Ketua Polis daerah Timur Laut, Supritendan V. Saravanan berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 42 tahun itu ditahan membabitkan tiga operasi di sekitar Jelutong dan Gelugor.

Hasil serbuan, pihaknya merampas 4.4 kilogram dadah disyaki heroin, 25.62 gram dadah syabu dan empat biji pil eramin five yang dianggarkan bernilai RM49,482.

“Rampasan itu dibuat membabitkan sebuah pangsapuri dan dua buah kereta yang mana sebuab kereta di tempat parkir dan sebuah kereta lagi di tepi jalan.

"Kereta berkenaan memang sindiket itu jadikan sebagai tempat simpan stok dadah, parkir dan jadikan stor.

"Mereka edar ke mana siapa dia punya pembeli semua kita sudah dapat dan kenal pasti tetapi masuk dalam siasatan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Timur Laut hari ini.

Turut disita empat buah kenderaan, barang kemas dan sejumlah wang tunai.

Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan melibatkan RM135,021.

Kesemua suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI