fb fb fb fb fb

Enam anggota EMT Mercy Malaysia berjaya dibawa keluar dari Rafah

Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan kesemua enam orang anggota Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) Mercy Malaysia telah berjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza / Foto AFP

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan kesemua enam orang anggota Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) Mercy Malaysia telah berjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza.

Wisma Putra memaklumkan enam anggota EMT dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat bersama-sama dengan petugas antarabangsa yang lain.

“Sebahagian ahli-ahli EMT ini telah dibawa keluar masing-masing pada 23, 24 dan 28 Mei manakala kumpulan terakhir yang terdiri daripada dua orang ahli EMT telah dibawa keluar pada 31 Mei,” menurut Wisma Putra menerusi kenyataan, pada Sabtu.

Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan antarabangsa yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia tersebut sehingga mereka berjaya dipindahkan keluar dari zon konflik.

Kementerian turut mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak melakukan sebarang perjalanan ke mana-mana zon konflik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN