Empat termasuk seorang wanita ditahan kes mengaku rasul

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki berusia 65 tahun yang didakwa mengaku sebagai rasul dalam satu operasi di sebuah premis di Rawang, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAIS menahan seorang lelaki yang didakwa mengaku sebagai rasul dalam operasi di Rawang.
  • Tahanan melibatkan empat individu termasuk seorang wanita untuk membantu siasatan.
  • Dakwaan termasuk pertemuan dengan para nabi dan pengikut menganggapnya utusan Allah.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata lelaki berkenaan ditahan bersama tiga lagi individu termasuk seorang wanita di lokasi sama bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati individu terbabit mendakwa telah bertemu Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang, manakala Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam kepada pengikutnya.

“Selain itu, dia mendakwa bertemu dengan para rasul sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu. Kejadian ini didakwa berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara di negara ini.

“Pengikutnya pula menyatakan individu itu adalah utusan Allah dan segala perlakuannya dianggap sebagai suruhan Allah, termasuk dakwaan tidak perlu menunaikan solat atau berpuasa jika berasa letih atau uzur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Mohd Shahzihan berkata siasatan dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki mengadakan upacara atau perbuatan berkaitan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8 enakmen sama kerana disyaki mengisytiharkan diri sebagai rasul serta mendakwa mengetahui perkara di luar pemahaman dan pengetahuan manusia.

Beliau memaklumkan, dengan penahanan tersebut, JAIS dijangka dapat menyelesaikan aduan berkaitan seorang individu yang mengaku sebagai rasul dan didakwa mempengaruhi ahli keluarganya, yang tular pada 9 Februari lalu.