fb fb fb fb fb

Empat sungai Pahang catat paras bahaya setakat 9 pagi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Disember- Empat sungai yang meliputi dua daerah di Pahang melepasi paras bahaya setakat pukul 9.00 pagi tadi berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my, di Pekan, Sungai Pahang di Paloh Inai merekodkan aras air 11.4 meter (m) telah melebihi tahap bahaya 10.3m.

Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini di daerah itu juga merekodkan peningkatan aras air iaitu 16.95m telah melebihi tahap bahaya 14.9m.

Sementara di Rompin, Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat merekodkan bacaan 10.61m manakala Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia menunjukkan trend menaik dengan merekodkan bacaan 12.7m.

Selain itu, enam sungai di Pahang merekodkan bacaan melepasi paras amaran manakala 13 lagi sungai di negeri itu merekodkan bacaan waspada.

Dalam pada itu, negeri-negeri lain seperti Kelantan, Kedah, Melaka, Sabah, Sarawak, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu mencatatkan bacaan paras air di tahap waspada dan amaran.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM