fb fb fb fb fb

Empat strategi dilaksana menangani jenayah penyeludupan migran

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Empat strategi dilaksanakan secara berterusan bagi menangani aktiviti jenayah penyeludupan migran yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan empat strategi itu termasuk memperkukuh undang-undang sedia ada, meningkatkan kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Antara lain, meningkatkan pembangunan kapasiti dalam aspek pencegahan jenayah penyeludupan migran serta memperkemas koordinasi mekanisme kawalan dan pemantauan di sempadan negara.

"Bermula 1 Mei 2024, kerajaan telah menubuhkan Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bertujuan untuk mengawal dan mengurus sempadan negara secara bersepadu bawah satu bumbung.

"Ini penting kerana fungsi penguatkuasaan sempadan apabila diletakkan bawah satu agensi, boleh mengurangkan kerenah birokrasi, boleh menggembleng potensi sumber dan boleh memberikan fokus kepada pemantauan aktiviti jenayah termasuk penyeludupan barang dan senjata api termasuk jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi berkenaan sindiket penyeludupan manusia yang juga menjadi dalang kepada kemasukan pendatang tanpa izin termasuk langkah untuk memperketat undang-undang sedia ada dan hukuman terhadap pihak terlibat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI