
KUDAT 23 Februari- Sebanyak empat daripada 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kudat, Sabah ditutup sepenuhnya selepas banjir beransur surut.
- Empat PPS di Kota Marudu ditutup selepas keadaan banjir beransur pulih.
- 11 PPS di Pitas masih beroperasi dan terus dipantau oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.
- Bantuan seperti makanan halal, kit kebersihan, tilam dan selimut disediakan secara berkala kepada mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Kudat, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Ag Mohd Sharil Karim berkata empat PPS berkenaan ditutup semalam melibatkan PPS di Kota Marudu, manakala 11 PPS masih beroperasi di Pitas.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa dan memastikan kebajikan mereka yang masih ditempatkan di PPS Pitas sentiasa terpelihara.
“Bantuan yang disalurkan ke PPS termasuk makanan bermasak halal secara berkala, kit kebersihan bencana, comforter, air mineral dan keperluan asas harian,” katanya.
Sementara itu, penduduk yang ditemui RTM di PPS Dewan Majlis Daerah Pitas menyatakan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
“Bantuan yang diterima termasuk tilam, selimut dan satu kotak keperluan untuk mandi. Makanan disediakan setiap hari,” jelas Mayeslie Mohd.