SIBU, 20 Mac - Empat pemandu lori balak disaman kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan.
Ketua Cawangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu, Mohamad Faizal David Jemat berkata mereka ditahan dalam operasi kenderaan barangan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini malam semalam.
“Kesemua lori berkenaan kemudiannya diarah ke perkarangan JPJ Sibu untuk ditimbang menggunakan timbang mudah alih bagi menentukan jumlah berat keseluruhan muatan yang dibawa. Selepas ditimbang didapati peratusan lebih muatan antara 59.05 – 86.90 peratus daripada had yang dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamad Faizal, kesemua pemandu terbabit akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 tetapi tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Tegas beliau, operasi untuk mengesan lori-lori yang membawa muatan berlebihan dan secara berbahaya akan sentiasa dilaksanakan secara berterusan.
"Pengusaha-pengusaha lori digesa mengambil tanggungjawab dan memastikan pemandu mereka tidak membawa muatan berlebihan bagi mengelak berlakunya kerosakan pada jalan raya, dalam masa sama menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.