fb fb fb fb fb

Empat pelajar UPSI terpilih ikuti Program “Qari in Residence” di luar negara

Pelajar UPSI, Muhammad Badrul Amin (lima dari kanan) bergambar bersama barisan pensyarah pengiring di KLIA sebelum berlepas ke OXCIS, United Kingdom/Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 5 Mac- Empat pelajar dan tiga pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih mengikuti Program "Qari in Residence" sebagai imam di tiga negara sepanjang Ramadan 2025, sekali gus mengharumkan nama institusi itu di peringkat antarabangsa.

Empat pelajar berkenaan adala penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan manakala seorang lagi adalah pegawai universiti tersebut.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kejayaan itu mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan tinggi dalam komuniti Islam global.

"Saya berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik tetapi juga pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan.

"Pemilihan mereka adalah satu penghormatan besar yang menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan pelajar dan kakitangan kami sekali gus memberi impak positif kepada mereka dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap.

"Kami melihat ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperluaskan jaringan UPSI dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat tempatan dan persada antarabangsa,” kata Dr. Md Amin dalam kenyataan hari ini.

Jelas Dr. Md Amin, mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam, tetapi juga sebagai duta kecil yang memperkenalkan keindahan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.

Pelajar, Muhammad Badrul Amin Derome yang diiringi Profesor. Madya Dr. Ibrahim Hashim berangkat ke United Kingdom untuk mengimamkan solat tarawih di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS) dan berada di sana dari 22 Februari hingga 1 April.

Sementara itu, Muhammad Fathmi Izwan Rusli akan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia serta pelajar, Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan yang diiringi Profesor. Dr Abdul Rahman Abd Ghani pula menyertai program berkenaan di Masjid Darul Ghurfan, Singapura, dari 28 Februari hingga 1 April.

Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman berkata Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail pula mengimamkan solat tarawih di Education Malaysia Australia, Perth dan Australia.

"Selain menjadi imam tarawih, beliau juga akan memberi kuliah kepada pelajar-pelajar dan kakitangan Malaysia di situ. Menjadi imam di negara asing bukanlah satu tugas mudah kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran yang berbeza.

"Namun, pengalaman ini menjadikan mereka lebih matang dan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat Islam kelak," katanya.

Menurut Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI) UPSI, Profesor Dr. Azmil, pemilihan mereka adalah satu pencapaian membanggakan yang membuktikan UPSI bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga dalam bidang keagamaan.

"Pemilihan ini membuka ruang kepada mereka untuk mengasah bakat sebagai qari dan memperoleh pengalaman berharga dalam interaksi dengan masyarakat Islam pelbagai latar belakang budaya serta cara hidup.

“Ini adalah satu peluang yang sangat berharga dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai program-program seumpama ini pada masa hadapan," kata Dr. Azmil.

Katanya, pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar UPSI untuk mendalami ilmu tahfiz dan qira’at serta merebut peluang mengembangkan kemahiran mereka di peringkat antarabangsa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM