fb fb fb fb fb

Empat nelayan hilang, bot dinaiki tenggelam di Tanjung Segenting, Batu Pahat

Keadaan bot yang tenggelam di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat / Foto FB Maritim Malaysia

BATU PAHAT, 22 Jun - Op CARILAMAT diaktifkan bagi mencari empat lagi kru bot nelayan tempatan yang hilang akibat bot yang dinaiki tenggelam sekitar pukul 6.00 pagi di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat, pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam memaklumkan terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di posisi kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat, Johor.

"Berdasarkan maklumat awal , bot nelayan itu dinaiki lima kru rakyat tempatan berusia di antara 43 hingga 62 tahun yang telah keluar ke laut untuk memukat ikan. Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam," katanya menerusi kenyataan.

Sejurus menerima maklumat, Mohd Haniff berkata MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op CARILAMAT pada 9.00 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

Ketika di lokasi, bot nelayan tersebut kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

Seorang mangsa, Tan Siak Bin, 43 tahun ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan berhampiran dan diserahkan kepada Bot Penggalang 30 untuk dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Op CARILAMAT bagi empat lagi kru diteruskan dengan penambahan radius kawasan pencarian kepada 23 batu nautika persegi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN