fb fb fb fb fb

Empat kontraktor selenggara pokok di setiap kawasan parlimen - DBKL

Foto X Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan empat kontraktor di setiap kawasan Parlimen untuk kerja-kerja penyelenggaraan pokok di ibu negara kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di X, hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

"Selepas melawat penduduk Lembah Pantai yang dilanda ribut baru-baru ini, saya berjumpa Datuk Kamarulzaman Mat Salleh di Menara DBKL semalam,

"Kami membincangkan isu perubahan iklim dan peranan Jabatan Kemajuan Landskap dan Rekreasi DBKL dalam memastikan penyelenggaraan pokok di Kuala Lumpur dapat dijalankan dengan baik," katanya.

Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut memaklumkan DBKL juga berhasrat untuk menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menanam 100 pokok bagi setiap pokok yang ditebang, selaras dengan usaha untuk menghijaukan bandar raya dan Malaysia secara amnya.

Sabtu lepas beberapa kawasan di ibu negara iaitu di Lembah Pantai dan Bangsar dilanda hujan lebat dan angin kencang hingga menyebabkan pokok tumbang serta mengakibatkan beberapa kediaman turut terjejas.

Dalam hantaran lain, beliau juga menjelaskan berkenaan peruntukan di Apartment Putra Ria, Bangsar menelan belanja kira-kira RM120,000 akibat kerosakan yang dialami berikutan ribut pada Sabtu lalu.

Ia termasuk kerosakan yang berlaku lif di salah satu blok tersebut sehingga menyukarkan rutin harian penduduk.

Selain itu lima buah motosikal serta tiga buah kereta yang juga telah mengalami kerosakan akibat terkena bahagian bumbung yang terjatuh dari tingkat 22 akibat diterbangkan ribut dalam kejadian itu.

"Jadi insya-Allah tiada masalah dari segi peruntukan saya sedia digunakan untuk tujuan baik pulih. Cuma kita ingin pastikan kerja-kerja baik pulih ini dijalankan secepat mungkin

"Terdapat sejumlah kenderaan termasuk lima motosikal, tiga buah kereta yang juga telah mengalami kerosakan akibat terkena bahagian bumbung yang terjatuh. Jadi insya-Allah bagi keluarga-keluarga ini juga kita akan segera bantu," katanya.

Semalam beliau juga sempat meluangkan masa melawat keluarga yang terjejas di apartment berkenaan serta melawat enam keluarga dari Kampung Tradisi Rumah Mara, Pantai Dalam yang kini ditempatkan sementara di Pusat Komuniti Lembah Pantai.

Bagaimanapun Fahmi turut menjelaskan bahawa Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai akan terus bekerjasama dengan DBKL untuk membantu penduduk yang terkesan secepat mungkin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI