fb fb fb fb fb

Empat individu ditahan, diesel subsidi lebih 60,000 liter disita

FOTO RTM

LUMUT, 8 Januari- Empat lelaki tempatan ditahan manakala 60,429 liter minyak diesel bersubsidi dirampas dalam serbuan di Kampung Baru Lumut, di sini pada Ahad.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata kejayaan rampasan berkenaan merupakan hasil risikan selama dua minggu pihaknya menerusi Op Tiris 3.0.

Menurut Kamalludin, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati sebuah lori sedang memindahkan cecair yang disyaki minyak diesel ke sebuah bot penunda yang dimiliki oleh sebuah syarikat pemegang lesen runcit bunkering sah di Manjung.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pembelian dan penjualan, mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan dan disyaki palsu.

Tambah Kamalludin, nilai keseluruhan rampasan lebih RM1.7 juta.

Turut disita, lori tangki dan bot penunda yang digunakan untuk menjalankan kegiatan tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD