GEORGE TOWN, 8 Disember- Seluruh Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air selama 96 jam dari 10 hingga 14 Januari depan, dengan seramai 590,000 pengguna bakal terkesan.
Ia susulan kerja-kerja menggantikan paip injap di Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua, Seberang Perai Utara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. Pathmanathan Krishnan Kutty Raman Nair berkata, kebanyakkan injap sudah 'uzur' berusia lebih 50 tahun.
"Infrastruktur sedia ada di Penang ini adalah yang lama. Jadi proses penggantian ini, setiap tahun, PBAPP akan ganti sedikit demi sedikit
"Ia sesuatu yang tidak dapat dielak dan juga bagi menjamin bekalan air untuk masa depan," katanya pada sidang media di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak di sini.
Sepanjang tempoh terbabit, PBAPP akan menyediakan trak bantuan air kepada pengguna dengan turut dibantu oleh pihak bomba, bomba sukarela, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Terdahulu, (PBAPP) dalam kenyataan memaklumkan bekalan air di kebanyakan kawasan akan terputus sepenuhnya, manakala beberapa kawasan masih mempunyai bekalan terhad.
“PBAPP meminta pengguna membuat persediaan awal dengan menyimpan air mencukupi untuk menghadapi gangguan bekalan air ini.
“Pastikan premis anda dilengkapi tangki simpanan air untuk meminimumkan kesulitan sepanjang gangguan. PBAPP akan membuat makluman mengenai bantuan serta sokongan lain dari semasa ke semasa,” katanya.
Pengguna boleh menghubungi pusat panggilan 24 jam di 04-2558255 atau melayari laman media sosialnya untuk maklumat lanjut.