Empat fokus utama perkukuh penyampaian perkhidmatan awam – KSN

Empat fokus utama perkukuh penyampaian perkhidmatan awam – KSN

BANGI, 7 Februari – Empat fokus utama yang digariskan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam antaranya penghayatan nilai dan tatakelola berteraskan integriti serta pelaksanaan program secara pantas dan berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghayatan nilai dan tatakelola berteraskan integriti dalam semua urusan perkhidmatan awam.
  • Pelaksanaan program dengan pantas dan berimpak tinggi mengikut saranan pemimpin.
  • Pendigitalan perkhidmatan awam untuk meningkatkan kecekapan dan capaian kepada rakyat.
  • Pemerkasaan komunikasi di semua peringkat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih efektif.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, aspek pendigitalan perkhidmatan awam dan pemerkasaan komunikasi pada semua peringkat antara fokus utama yang turut diberi keutamaan.

“Fokus yang pertama adalah kepada penghayatan nilai dan tatakelola. Ini melibatkan isu-isu berkaitan dengan integriti.

“Yang kedua adalah berkaitan dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kita melaksanakan program-program dengan kadar segera bermantrakan ‘fast execution and impactful result,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pemukiman Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan (KSUKP) Tahun 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Shamsul Azri berkata, hasil pemukiman itu akan dibentangkan ke Mesyuarat Kabinet bagi memastikan langkah-langkah susulan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

“Hasil daripada retreat ini akan dibawa untuk dibentangkan ke Mesyuarat Kabinet dan juga langkah-langkah perlu yang akan dijalankan, di mana natijahnya adalah untuk kesejahteraan rakyat.

“Kami sebagai penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik demi rakyat,” jelasnya.