
MELAKA, 10 Februari – Empat barangan ditambah dalam senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 terutama di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, barangan tersebut merangkumi sawi pendek atau sawi jepun, cili merah, bawang kuning besar dan bawang merah besar.
Beliau berkata, SHMMP Tahun Baharu Cina akan berkuatkuasa selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari.
“Dari segi barangan pula, kita bersyukur kerana jumlahnya dapat dikekalkan seperti tahun lalu.
“Secara keseluruhan, sebanyak 16 barangan dipilih bagi Sarawak, 16 untuk Sabah, 15 bagi Semenanjung Malaysia dan 14 bagi Labuan, dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi 16 barangan”, katanya kepada pemberita selepas Pengumuman SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 di Taman Pandan Mawar, Melaka.
Antara barangan lain terlibat sepanjang SHMMP ialah ikan bawal putih, bawang putih, kobis bulat import, lobak putih, ubi kentang, kepak ayam serta daging babi.
Dalam pada itu, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena Tahun Baharu Cina.
Menurut Datuk Armizan, program tersebut telah dilaksanakan bermula 3 Februari hingga 17 Februari.
“Dalam program PJRM sempena Tahun Baharu Cina ini, akan disediakan tambahan SKU barangan yang diperlukan oleh masyarakat khususnya kaum Tionghua. Sebenarnya, program PJRM ini telah bermula pada 3 Februari sehinggalah 17 februari”, katanya.
Sebanyak 920 siri PJRM dilaksanakan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 46 siri PJRM dilaksanakan di Melaka.
Orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Tahun Baharu Cina 2026 di laman sesawang KPDN.