Empangan utama Perak catat paras rendah

FOTO BERNAMA

IPOH, 5 Februari – Paras air empangan utama di Sungai Perak, termasuk Tasik Temengor, kini berada pada tahap rendah berikutan taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Paras empangan utama Sungai Perak, termasuk Tasik Temengor, mencatat tahap rendah memberi kesan ke empangan hilir.
  • Risiko gangguan bekalan air dan tenaga, termasuk sokongan operasi Stesen Janakuasa Manjung, kini meningkat.
  • Tasik Bukit Merah pada Aras Kritikal Pengairan Tahap Dua; catuan air untuk sawah padi di Kerian dilaksanakan.
  • Langkah kawalan: catuan pengairan, pam bergerak, dan permohonan Operasi Pembenihan Awan sedang dijalankan.

Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata keadaan itu memberi kesan rantaian ke empangan hilir, termasuk Tasik Bersia, Tasik Kenering dan Empangan Chenderoh, yang kini hampir mencecah paras operasi minimum.

Keadaan ini menimbulkan risiko jangka sederhana terhadap jaminan bekalan air dan tenaga, termasuk sokongan operasi Stesen Janakuasa Manjung yang menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan tenaga Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, paras air Tasik Bukit Merah berada pada Aras Kritikal Pengairan Tahap Dua, menyebabkan bekalan air untuk sawah padi di Kerian dilaksanakan secara catuan.

Langkah kawalan termasuk catuan pengairan dan penggunaan pam bergerak sedang dijalankan dengan kerjasama agensi berkaitan.

Bagi mengurangkan kesan kemarau, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak telah memohon pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan empangan Bukit Merah dan hulu lembangan Sungai Perak kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Langkah ini dijangka meningkatkan peluang hujan serta mengelak gangguan bekalan air domestik dan pengairan sekiranya kemarau berterusan.

Kerajaan Negeri Perak turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan penggunaan air secara berhemah dan mematuhi arahan catuan pengairan bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga hujan kembali stabil.