fb fb fb fb fb

Empangan Nenggiri : Semua pampasan telah diberi kepada Orang Asli

KOTA BHARU, 27 Mac - Semua pampasan, sagu hati, bantuan rumah dan bantuan-bantuan lain telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara itu telah pun selesai diurus oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekali gus menghentikan tohmahan yang dilontarkan kepada kerajaan tidak menjaga aspek kepentingan Orang asli.

"Saya nak sahkan kita telah selesai dengan Orang Asli ini, dari segi sagu hati ataupun pampasan yang sepatutnya diberikan kepada masyarakat Orang Asli selesai dan banyak program libat urus dibuat antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan masyarakat Orang Asli ini.


(Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan)

"Jadi kita harap pihak NGO dan sebagainya mestilah lebih bertanggungjawab untuk melontar apa-apa tohmahan kepada pihak kerajaan dan juga TNB", katanya kepada media selepas merasmikan Hari Keluarga Malaysia, Peringkat Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan yang diambil kerajaan dan TNB adalah mengikut undang-undang.

Jelasnya, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengambil tanah kepunyaan individu tertentu tanpa pampasan sewajarnya serta mengikut lunas undang-undang.

Projek empangan hidroelektrik di Nenggiri telah pun berada pada peringkat pelaksanaan dan dalam tempoh sebulan akan diadakan pecah tanah.

Selain menjana kuasa elektrik, kegunaan domestik dan sektor pertanian, empangan tersebut juga adalah penting untuk mengelakkan kejadian banjir.

Media Baharu