KUALA LUMPUR, 4 Mac- Tindakan atau pertuturan yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) akan menggugat keharmonian negara dan tidak seharusnya berulang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar memberi teguran itu kepada semua pihak susulan tindakan pihak tertentu yang menyinggung sensitiviti penganut agama lain.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.
"Perdana Menteri juga menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan untuk kita bersama mempertahan keharmonian serta menolak usaha dan tindakan yang boleh memecah belah perpaduan nasional," katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.