SHAH ALAM, 24 Julai - Bantuan RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya boleh digunakan membeli barang keperluan di kedai yang ditetapkan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah itu bertujuan bagi mengelakkan salah guna bantuan.
"Seseorang penerima perlu menggunakan kad pengenalan mereka untuk membuat pembelian di kedai-kedai yang telah ditetapkan iaitu sebanyak 4,100 kedai di seluruh negara dengan membeli barangan yang telah disenaraikan bagi mengelakkan penyalahgunaan bantuan.
"Terdapat kes sebelum ini di mana penerima membeli rokok, tetapi tidak membeli keperluan penting seperti susu bayi atau lampin. Maka, kaedah ini diperkenalkan untuk memastikan bantuan digunakan sepenuhnya bagi barangan yang benar-benar diperlukan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup TikTok Shop Summit dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025, di Shah Alam.
Datuk Dr Fuziah turut memaklumkan, penguatkuasaan juga akan dijalankan secara berterusan bagi mengelakkan berlaku kenaikan harga di kedai-kedai terlibat.