fb fb fb fb fb

Elak penipuan, urusan bekalan & perkhidmatan hanya dibuat melalui Sistem e-Perolehan, iGFMAS

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 September- Jabatan Pertanian ingin menasihatkan kepada semua pihak-pihak yang terlibat dalam urusan bekalan dan perkhidmatan agar menggunakan Sistem e-Perolehan dan iGFMAS bagi setiap permohonan bekalan dan perkhidmatan.

Ia susulan aduan yang diterima berkaitan kes penipuan Pesanan Kerajaan yang dilakukan oleh pihak tertentu menggunakan logo Jabatan Pertanian bagi tujuan memperdaya syarikat untuk menyediakan bekalan dan perkhidmatan sepertimana kandungan Pesanan Kerajaan yang dikemukakan.

Jabatan Pertanian menerusi satu kenyataan memaklumkan, taktik licik oleh pihak tertentu itu telah menyebabkan pihak syarikat pembekal telah terpedaya dan mengalami kerugian kerana tiada sebarang permohonan bekalan dan perkhidmatan dibuat oleh pihaknya.

"Jabatan Pertanian memandang serius terhadap isu yang berlaku di mana ianya boleh menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap Jabatan Pertanian serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Oleh itu, pihak yang terlibat terutamanya syarikat pembekal disaran untuk menghubungi Jabatan Pertanian terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa bekalan dan perkhidmatan yang dikemukakan oleh pihak tertentu bagi mengelakkan kes penipuan yang sama daripada berulang.

"Jabatan Pertanian Malaysia amat mengalu-alukan sekiranya kenyataan penafian ini disebar luas kepada semua yang terlibat demi menjaga kewibawaan jabatan kerajaan khasnya Jabatan Pertanian,"jelas kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE