fb fb fb fb fb

Elak naratif tidak benar pembangunan Kampung Sungai Baru

Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Isu pembangunan Kampung Sungai Baru di Kampung Baru yang dibangkitikan sesetengah pihak perlu diperbetulkan bagi memastikan ianya tidak bercanggah dengan fakta sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, isu yang dimainkan itu merupakan naratif lama dan mahkamah telah memutuskan mengenai isu pembangunan kawasan itu.

Sejak memegang jawatan, perkara berkenaan dikenal pasti sebagai isu lama dan selaku menteri beliau mahu penyelesaian segera.

"Saya menepis dakwaan ini, kita pun sudah dengar sendiri dan saya rasa kita juga perlu bercakap perkara ini berdasarkan fakta.

"...dan faktanya kita pun sudah sedia maklum berkenaan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Mempertingkatkan Persimpangan Lebuhraya Sultan Iskandar Kuala Lumpur di sini.

Pada masa sama penyelesaian isu berkenaan dilihat akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di Kampung Baru khususnya dan Kuala Lumpur amnya.

Dalam perkembangan lain, Zaliha berkata pihaknya akan bertemu peniaga di Kompleks Pasar Raja Bot di ibu negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai rungutan pelanggan kurang berkunjung ke kawasan itu.

"Insya-Allah kita telah mengarahkan DBKL untuk membantu sebab ianya masih kawasan baru, jadi pelanggan sedia ada sudah terbiasa dengan kawasan lama.

"Jadi kita akan bantu daripada sudut promosi dan saya sendiri akan turun ke kawasan itu dan melihat keadaan, kita sebolehnya akan bantu supaya orang ramai berkunjung ke situ," katanya.

Baru-baru ini, timbul isu peniaga di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit belum bersedia untuk berpindah ke Kompleks Pasar Raja Bot berikutan bimbang akan menjejaskan jualan ekoran kekurangan pelanggan.

Penempatan pasar baharu itu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti termasuk kamera litar tertutup (CCTV) serta kawalan pengawal keselamatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI