SEREMBAN, 6 Disember- Semua pemegang permit bahan batuan merangkumi pasir sungai, pasir daratan, kuari, pasir laut dan tanah merah di Negeri Sembilan, tertakluk kepada semua peraturan yang ditetapkan.
Tegas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekiranya ingkar mereka boleh dikenakan tindakan lucut hak deposit keseluruhan, penggantungan permit atau pembatalan permit mengikut jenis kesalahan.
"Pengusaha hendaklah memaklumkan kepada pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan juga Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sekiranya menjumpai sumber mineral yang lain selain bahan batuan yang dipohon. Kedua bagi pengambilan pasir sungai, pengusaha disyaratkan tidak boleh mengambil pasir di liku-liku sungai dan juga tebing.
"Bagaimanapun ianya tertakluk kepada garis panduan daripada pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) yang berkaitan dan yang terakhir, manakala untuk pasir daratan dan juga tanah, pengusaha tidak boleh mengambil sumber melebihi kawasan yang dipohon", katanya.
Tambahnya, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Negeri Sembilan serta agensi-agensi teknikal yang berkaitan akan sentiasa mejalankan pemantauan bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan kepada syarat kelulusan permit.
Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat menjawab soalan Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-LABU) mengenai pengeluaran bahan bantuan merangkumi pasir sungai, pasir daratan, kuari, pasir laut dan tanah merah di Negeri Sembilan benar-benar mengikut syarat yang ditetapkan.