fb fb fb fb fb

Elak kes pecah rumah, orang ramai disaran maklum polis sebelum balik kampung

TUMPAT, 27 April- Orang ramai yang berhasrat untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri dinasihati agar memaklumkannya kepada pihak polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Tan Seng Lee berkata, langkah itu bertujuan memudahkan pihaknya membuat pemantauan dan rondaan di sekitar kawasan kediaman terlibat.

Katanya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi borang maklumat balik kampung atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). 

Bagaimanapun, jelas beliau, setakat ini masih tidak ramai yang tampil ke balai polis di daerah itu untuk mengisi borang berkenaan.

"Kami jangkakan orang ramai akan pulang ke kampung halaman dalam jumlah yang banyak kerana sebelum ini tidak dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kalau ada pergerakan keluar boleh maklumkannya pada mana-mana balai polis terdekat supaya kita tahu dan dapat buat rondaan yang kerap di kawasan tersebut untuk mencegah jenayah seperti pecah rumah," katanya selepas melakukan Pemantauan Bazar Ramadan di sini.


(Superintenden Tan membuat pemantauan di Bazar Ramadan di sini)

Dalam perkembangan lain, pihaknya telah membanteras tiga kes penyeludupan mercun di daerah itu dengan nilai rampasan kira-kira RM30,000

Jelas beliau,pasukannya sentiasa melakukan operasi di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludup.

Media Baharu